|
Ditulis Oleh Webmaster
|
|
Ahad, 24 Oktober 2010 19:51 |
Industri Kecil & Sederhana
Golongan Industri Kecil & Sederhana (IKS) ini ialah golongan pengusaha dan usahawan yang menjalankan perniagaan secara berkongsi atau berkumpulan mengikut kriteria yang ditakrifkan dengan jumlah pekerja dan jumlah pendapatan tahunan. Golongan ini mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang tertentu dan menjalankan perniagaan secara biasa iaitu bagaimana mendapatkan hasil yang lumayan bagi penjualan produk atau perkhidmatan mereka.
Tetapi trend atau landskap perniagaan telah berubah dan telah membuka mata pengusaha dan usahawan mengenai aset yang sudah lama wujud tetapi masih dianggap baru dikalangan IKS iaitu HARTA INTELEK. Mereka masih ragu dengan perlindungan harta intelek, apakah faedahnya dan mengapa perlu adanya pendaftaran harta intelek dan apa sebenarnya disebut harta intelek serta apakah kaitan, sangkut paut atau kena mengena dengan IKS?
Harta Intelek
Harta Intelek adalah hasil ciptaan minda: rekacipta, karya sastera dan seni dan simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan. Ia dibahagi kepada dua kategori iaitu Harta Industri dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang mengawalselia enam Akta iaitu:-
- Akta Paten 1983: Paten adalah hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta samaada suatu produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu, ataupun untuk penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah. (Hak ekslusif ialah hak/kuasa kawalan terhadap rekacipta yang diberikan kepada pemilik seperti diperuntukan oleh Akta-Akta berkenaan)
- Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996: Aspek atau hiasan atau estetik sesuatu barang. Reka Bentuk tersebut boleh terdiri daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk atau tatarajah sesuatu artikel atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.
- Akta Cap Dagangan 1976: Apa-apa tanda yang membezakan barang dan perkhidmatan daripada seseorang peniaga dengan peniaga-peniaga yang lain dan merupakan alat pemasaran yang membolehkan pengguna mengenali dan mengaitkan suatu keluaran dengan peniaga tertentu.
- Akta Petunjuk Geografi 2000: Petunjuk yang mengenalpasti di mana barangan itu berasal dari negara atau wilayah, atau suatu kawasan atau tempat dalam negara atau wilayah itu, jika suatu kualiti, reputasi atau ciri lain tertentu barangan itu adalah punca dasarnya boleh dianggap berpunca dari tempat asal geografinya.
- Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000: Susunan tiga dimensi unsur-unsur sesuatu litar bersepadu dan sebahagian atau semua saling hubungan litar bersepadu itu atau susunan tiga dimensi sedemikian yang disediakan bagi sesuatu litar bersepadu yang dimasukkan untuk dikilang.
- Akta Hakcipta 1987 dan Hak-hak Berkaitan: Hakcipta adalah hak ekslusif yang diberikan kepada pemilik karya yang berhakcipta bagi suatu tempoh yang ditetapkan. Sesuatu karya adalah dilindungi secara automatik sebaik sahaja ia memenuhi syarat-syarat yang diperuntukkan dibawah Akta Hakcipta 1987.
Faedah-faedah Pendaftaran Harta Intelek
- Membolehkan pengusaha dan usahawan mendapat hak ekslusif terhadap rupa bentuk produk mereka disamping boleh menghalang orang lain daripada menggunakan atau meniru produk ini tanpa kebenaran.
- Dapat membezakan diantara produk asli dan produk tiruan yang mana akan berkait rapat dengan reputasi sesuatu produk.
- Masalah perlanggaran Cap Dagangan mudah diselesaikan dengan pihak berkuasa seperti Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan wujudnya Mahkamah Harta Intelek bagi membantu menyelesaikan masalah pertelingkahan Cap Dagangan.
- Membolehkan pengusaha dan usahawan memonopoli produk mereka yang telah didaftarkan sebagai Harta Intelek.
- Selain itu, akta ini juga membolehkan pengeluar petunjuk geografi mengeksploitasi barangan petunjuk geografi mereka dan akan memberi manfaat kepada:
- Pengeluar: Petunjuk geografi boleh menjadi salah satu strategi alternatif kepada pengeluar untuk penjenamaan produk dalam usaha mempromosi barangan pengeluaran mereka. Disamping itu, pengeluar-pengeluar petunjuk geografi akan digalakkan berganding bahu dalam menghasilkan barangan petunjuk geografi yang lebih bermutu kerana barangan keluaran mereka akan dinilai sebagai dari satu kawasan dan bukan dari setiap pengeluar.
- Pengguna: Pengguna akan merasa lebih yakin kerana setiap barangan tersebut mempunyai kawalan kualiti dan mutu yang ketat oleh badan pengawal persatuan atau pertubuhan petunjuk geografi tersebut dan juga boleh mengelak daripada memilih barangan yang menggunapakai petunjuk geografi palsu.
|
|
Dikemaskini Pada Ahad, 31 Oktober 2010 19:41 |