|
Ditulis Oleh Webmaster
|
|
Ahad, 17 Julai 2011 13:03 |
KUALA TERENGGANU - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) kini diberi kepercayaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) apabila dilantik sebagai konsultan bagi program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) bagi negeri Terengganu dan Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, pelantikan itu membolehkan YPU membuat transformasi terhadap 50 buah kedai runcit, iaitu masing-masing 20 buah di Terengganu dan selebihnya di Kedah.
Menurut Azmi, di bawah program itu, YPU akan merubah wajah kedai runcit baik di bandar atau luar bandar untuk menjadi lebih moden dan menarik.
“Ia sebenarnya sebuah model ekonomi baru bagi membolehkan kedai runcit biasa bersaing dengan memodenkan bentuk perniagaan kerana dengan liberalisasi perdagangan, negara terpaksa membuka pintu kepada pelaburan asing.
“Kebanyakan kedai runcit yang ada masih lagi tidak tersusun dengan barang berterabur dan kebersihan tidak menentu.
Jadi, kita nak ubah kedai ini menjadi lebih moden dan lebih menarik agar dapat memikat lebih ramai pelanggan,” katanya.
Menurut Azmi, program Tukar itu melibatkan 500 kedai runcit terpilih di seluruh negara dan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM40 juta seluruh Malaysia, dengan jumlah pinja-man maksimum sebanyak RM60,000 bagi setiap kedai runcit.
Katanya, antara kelebihan menyertai Tukar adalah membangunkan kedai runcit tempatan jenis ‘mom and pop’ selain meningkatkan tahap kompetitif peruncit dan PKS tempatan serta menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Goods and Services Tax (GST).
Ia juga dapat memodenkan dan menaiktaraf premis peruncit tradisional sedia ada serta memudahkan pengiraan dan semakan stok.
Selain itu, ia menggalakkan penyertaan koperasi dalam bidang perunci-tan dan mewujudkan pusat pengedaran setempat, malah kursus peruncitan dan keusahawanan YPU akan diberikan secara percuma selama dua tahun dan diberi bantuan kod bar daripada YPU.
“Skop pembiayaan bagi program Tukar ini pengubahsuaian dan menaiktaraf premis perniagaan, meliputi pengubahsuaian siling, pendawaian dan lampu, mengecat serta pengubahsuaian lantai, dinding, cermin dan sebagainya,” katanya.
Apa yang membanggakan kata Azmi, terdapat sebuah kedai runcit di Manir, Kuala Terengganu yang menunjukkan prestasi yang cukup memberangsangkan setelah menyertai program Tukar ini dengan menyediakan pelbagai jenis barangan basah, kering dan keperluan harian.
Katanya, antara syarat kelayakan permohonan bagi mereka yang berminat menyertai Tukar ialah perniagaan mestilah 100 peratus milik tempatan dan berdaftar dengan SSM serta mempunyai lesen PBT yang sah untuk mengusahakan kedai runcit.
Pemilik kedai runcit juga perlu berumur 23 tahun ke atas dan tidak melebihi 60 tahun dan kedai runcit itu telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun serta keluasan kedai runcit tidak melebihi dua pintu kedai atau 2,500 kaki persegi dan juga syarat lain.
|