Usahawan Terengganu Ke Pameran Gulfood Dubai 2011 PDF Cetak E-mail
Kualiti Artikel: / 1
Kurang MemuaskanSangat Memuaskan 
Ditulis Oleh Webmaster   
Ahad, 13 Mac 2011 09:50

DUBAI, 3 Mac 2011 - Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Negeri Terengganu (YPU) telah menyertai Gulfood Exhibition 2011 yang telah diadakan di Dubai berlangsung selama 4 hari bermula 27 Feb 2011 hingga 2 Mac 2011 bertempat di Dubai World Trade Centre (DWTC). Ini merupakan penyertaan kali kedua usahawan Terengganu di pameran tersebut yang telah dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Pavillion Malaysia
Pavillion peserta Malaysia di Ekspo Gulfood 2011, Dubai.

Acara tahunan ini melibatkan pengeluar produk makanan, bahan-bahan mentah makanan dan peralatan pemprosesan dan pembungkusan makanan yang telah disertai oleh sebanyak 3,800 syarikat dari seluruh dunia. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah bertanggungjawab sebagai jawatankuasa pengelola bagi 50 syarikat tempatan yang menyertai pameran tersebut.

Antara produk yang diperkenalkan adalah produk berasaskan Kopi (Rangkaian Tani Enterprise), produk Beef Steak & Grilled Chicken (Haqiqat Food), Roti Canai Segera (Him Enterprise), Murtabak Segera (MWA Enterprise), Minuman Sarang Burung / Sardin / Susu Pekat Manis (Cakna Sdn. Bhd.).

Delegasi Malaysia
Y.B. Dato' Hj. Mohamed Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Terengganu, Y. Bhg. Hj. Azmi Razik, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu bersama delegasi Malaysia di Dubai.

Hasil daripada penyertaan tersebut, sejumlah 120 pertanyaan perniagaan telah diadakan pada Booth pameran Yayasan Pembangunan Usahawan melibatkan syarikat-syarikat IKS Terengganu yang menyertai Gulfood Exhibition tersebut. Pembeli-pembeli berpotensi termasuklah dari UAE, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Switzland.

Juga telah diadakan satu lawatan kerja sehari ke negara Oman pada 26 Februari 2011 yang bertujuan untuk meluaskan jaringan pemasaran produk-produk IKS Terengganu di negara tersebut dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Muscat, Oman. Delegasi itu, telah diketuai oleh Y.B. Dato’ Haji Mohamed bin Awang Tera diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Pengarah MARA Terengganu dan 2 orang pegawai.

Perjumpaan dengan Pengerusi Oman Chamber Of Commerce and Industry
Perjumpaan delegasi Terengganu bersama Oman Chamber Of Commerce & Industry di Muscat, Oman.

Perjumpaan dengan Oman Chamber of Commerce & Industry yang dipengerusikan oleh Khalil bin Abdullah bin Mohammed Al-Khonji selaku Pengerusi Oman Chamber of Commerce & Industry telah diadakan bagi membincangkan berkenaan kerjasama dua hala yang boleh dilakukan diantara negeri Terengganu dan negara Oman khususnya dalam sector pertroleum, pendidikan dan pelancongan.

Lawatan kerja ke Khimji Rhamdas Group
Lawatan kerja delegasi Terengganu ke Khimji Ramdas Group

Selain itu, delegasi juga telah mengadakan lawatan kerja dan perbincangan dengan Lulu Hypermarket dan Safeer Hypermarket yang merupakan di antara rangkaian hypermarket terkenal di Timur Tengah. Juga telah diadakan perjumpaan dengan Khimji Ramdas Group, salah satu kumpulan perniagaan besar di Muscat yang mempunyai rangkaian hypermarket dan juga terlibat dalam sektor logistic, infrastruktur dan juga pelancongan.