| Festival Pelamin & Rias Pengantin 2011 Sasar Hasil Jualan RM500,000.00 |
|
|
|
| Ditulis Oleh Webmaster |
| Jumaat, 11 Februari 2011 00:00 |
|
KUALA TERENGGANU, 11 Februari 2011 – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM500,000 sempena Festival Pelamin dan Rias Pengantin 2011 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini bermula semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik yakin sasaran itu dapat dicapai berbanding RM300,000 jumlah keseluruhan hasil tempahan orang ramai terhadap butik-butik pengantin, tahun lalu. Katanya, festival itu juga merupakan landasan terbaik kepada pengusaha butik pengantin di negeri ini bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di butik mereka. “Ini menunjukkan bahawa pengusaha perlu ada landasan untuk mempromosikan produk kepada masyarakat Terengganu di samping menggalakkan para usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Festival Pelamin dan Rias Pengantin 2011 di TTC semalam yang disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud. Program anjuran YPU dengan kerjasama D’ZA Music Entertainment itu berjaya menarik 72 peserta yang terdiri daripada pengendali majlis perkahwinan di negeri ini. Menurut Azmi, festival itu juga merupakan satu usaha untuk meningkatkan produk sedia ada bagi menggalakkan aktiviti pelancongan dalam usaha menarik minat pengunjung dari luar Terengganu. “Negeri ini mempunyai banyak kelebihan dan potensi untuk menarik kunjungan pelancong berdasarkan produk yang ada, jadi usahawan perlu rebut peluang ini untuk mempromosikan produk mereka,” jelasnya. Malah katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai salah satu destinasi untuk melangsungkan perkahwinan serta berbulan madu di kalangan pelancong. Beliau berkata, umpamanya Taman Tamadun Islam yang terkenal dengan Masjid Kristal dan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung mampu menjadi antara destinasi menarik pelancong melangsungkan perkahwinan sekali gus membuka peluang kepada pengusaha butik perkahwinan di negeri ini. Selain itu jelasnya, para pengusaha juga boleh menggunakan teknologi sebagai medium penyebar maklumat kepada orang ramai berhubung perkhidmatan serta produk yang ditawarkan butik masing-masing termasuk pakej-pakej menarik dengan tawaran harga berpatutan. Beliau mendapati peluang menceburi bidang penyediaan pelamin sangat menguntungkan dan dengan adanya modal serta latihan yang mencukupi, perusahaan itu mempunyai masa depan lebih cerah. “YPU akan terus menyokong usaha mengadakan kursus-kursus yang menjurus kepada bidang penyediaan pelamin serta makanan, fotografi dan sebagainya untuk menarik lebih ramai lagi melibatkan diri dalam bidang ini,” katanya.
|
| Dikemaskini Pada Ahad, 20 Februari 2011 16:30 |






