| Cop Rasmi Batik Asli Buatan Terengganu |
|
|
|
| Ditulis Oleh Webmaster |
| Khamis, 25 November 2010 00:00 |
|
Kuala Terengganu, 25 November - Pengusaha batik di negeri ini digalak menggunakan cop rasmi yang diperkenalkan Persatuan Pembatik Negeri (PPN) dalam usaha memastikan keaslian batik Terengganu kekal, selain sebagai langkah menangani kekeliruan antara batik buatan tempatan dengan batik negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato' Haji Mohamed Awang Tera berkata, cop rasmi itu diharap boleh menyelesaikan kekeliruan orang ramai mengenai batik buatan tempatan dengan batik di negeri lain. "Rata-rata orang awam tidak dapat membezakan antara batik Terengganu dengan batik negeri lain, malah kami akui banyak lambakan batik dari luar yang memenuhi pasaran tempatan hingga mengelirukan pembeli." "Sehubungan dengan itu, langkah pertama yang diusahakan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) melalui PPN ialah memperkenalkan cop rasmi sebagai identiti batik buatan Terengganu." "Pendekatan ini disambut baik pembuat batik di negeri ini dan berkuatkuasa serta merta, mereka boleh merujuk PPN bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenai cop berkenaan," katanya di Festival Songket, Batik dan Kraf Terengganu 2010 yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Mohamed berkata, selain lambakan batik luar menjejaskan jualan batik tempatan, songket tiruan juga menjadi ancaman kepada pengeluar songket di negeri ini. Justeru, beliau mempunyai perancangan memperkenalkan cop rasmi untuk songket bagi menangani masalah berkenaan. "Kami akui songket tiruan dari India dan Pakistan memang dijual di pasaran dan ia memberi kesan kepada penjualan songket tempatan, malah ada pelanggan tertipu apabila membeli songket tiruan yang disangka buatan Terengganu." "Bagi memastikan mereka tidak ditipu, orang awam perlu perihatin dan mengkaji terlebih dulu identiti songket tempatan sebelum membelinya" katanya. Pengusaha songket tempatan, Wan Manang Wan Awang berkata, lambakan songket tiruan mencemarkan imej songket tempatan. "Mereka menjual songket tiruan yang sama dengan songket tempatan pada harga tinggi sebelum pembeli merungut mengenai kualitinya kerana tidak memuaskan. Ia mengubah pandangan positif pembeli terhadap songket tempatan." "Saya berharap pembeli lebih bijak ketika membeli dan mengenal pasti terlebih dulu kualiti songket tempatan yang mempunyai mutu tekstil yang lembut." "Pembeli boleh mengenalpasti songket itu tiruan apabila terlalu banyak corak yang berulang pada songket, selain lapisan bahagian dalamnya yang berserabut," katanya. |
| Dikemaskini Pada Ahad, 28 November 2010 17:49 |






