Bantu usahawan IKS label, bungkus produk dengan lebih baik PDF Cetak E-mail
Kualiti Artikel: / 0
Kurang MemuaskanSangat Memuaskan 
Ditulis Oleh Webmaster   
Khamis, 01 Julai 2010 00:00

KUALA TERENGGANU, 1 Julai 2010 – Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan menubuhkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (T’P3) di setiap daerah bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) melabel dan membungkus produk dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, usaha ke arah itu sudah dimulakan awal tahun ini dalam usaha membantu mereka agar lebih berdaya saing dengan produk-produk yang penampilannya setanding dengan jenama terkemuka.

Katanya, kaedah pelabelan dan pembungkusan yang tidak menarik menjejaskan keyakinan bakal pelanggan dan ini merupakan salah satu faktor melembapkan pasaran selain kurangnya promosi.

“Produk keluaran usahawan-usahawan IKS di negeri ini mempunyai mutu yang baik dan berpotensi dikembangkan, namun kelemahan dalam pelabelan dan pembungkusan menyebabkan ia gagal mendapat sambutan.

“Justeru, kita akan menubuhkan T’P3 dalam membantu para usahawan di setiap daerah dalam hal ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, pembinaan T’P3 di Ajil, Hulu Terengganu sudah hampir siap dan akan beroperasi tidak lama lagi bagi kemudahan usahawan setempat.

“Kami juga sedang membina pusat berkenaan di Gong Kemuntong, Besut; Pulau Serai, Dungun dan Bukit Kor, Marang manakala di Kemaman akan dimulakan tidak lama lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pusat membeli-belah terbaru di Hulu Terengganu, T’Mall akan dijadikan landasan pemasaran pelbagai produk usahawan tempatan apabila ia sudah siap nanti.

“Apabila T’Mall siap nanti, ia akan menjadi pemangkin dalam memacu dan mempertingkatkan promosi produk-produk usahawan tempatan,” katanya.

Dikemaskini Pada Ahad, 21 November 2010 22:47