YPU Keluar Pinjaman RM1.4 Juta Untuk Pembangunan T’Shoppe PDF Cetak E-mail
Kualiti Artikel: / 0
Kurang MemuaskanSangat Memuaskan 
Ditulis Oleh Webmaster   
Sabtu, 12 Jun 2010 00:00

KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mengeluarkan pinjaman sebanyak RM1.4 juta untuk pembangunan kedai serbaneka (T’Shop) dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Azmi Razik berkata ia melibatkan seramai 11 usahawan, dengan kadar pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000 seorang.

“Kita masih memproses lapan lagi permohonan daripada usahawan untuk membuka T’Shoppe tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Azmi berkata ia merupakan pinjaman mudah tanpa faedah, bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di Terengganu.

Beliau berkata sasaran YPU sehingga tahun 2013 ialah melahirkan 100 usahawan T’Shoppe yang berjaya, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penganggur.

Azmi berkata beliau yakin T’Shoppe yang menjual produk hasil keluaran Terengganu, akan dapat bersaing dengan kedai-kedai serbaneka popular lain dan maju pada masa akan datang.

Menurut beliau, sambutan orang ramai terhadap T’Shoppe sangat menggalakkan, dengan kutipan hasil jualan antara RM2,000 dan RM4,000 setiap hari.

Beliau berkata setiap T’Shoppe kini mampu memberi peluang pekerjaan kepada enam hingga tujuh orang pekerja.

Azmi berkata YPU juga merancang membuka mini T’Shoppe di kampung-kampung dan kawasan perumahan di seluruh Terengganu pada masa akan datang.

 

Dikemaskini Pada Ahad, 31 Oktober 2010 15:47