Kompleks Usahawan Siap Akhir Tahun PDF Cetak E-mail
Kualiti Artikel: / 0
Kurang MemuaskanSangat Memuaskan 
Ditulis Oleh Webmaster   
Selasa, 05 Oktober 2010 17:43

 

KUALA TERENGGANU 4 Oktober - Kompleks Usahawan Terengganu yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dengan nilai RM26 juta dijangka siap hujung tahun ini. Kompleks yang terletak di Kampung Kubang Jela, Manir, dekat sini akan menjadi pusat sehenti bagi memenuhi keperluan usahawan termasuk mendapat segala maklumat dan kemudahan dalam urusan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, kompleks tiga tingkat ini akan menyediakan ruang niaga untuk disewa, bilik pameran dan pusat pengeluaran moden dan tersusun.

 

"Kompleks ini akan membawa kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Kompleks ini bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan ini dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh.

Katanya lagi, separuh daripada kompleks yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar ini akan diubahsuai untuk menempatkan T' Hotel yang bertaraf tiga bintang dengan kapasiti 99 buah bilik.

"Dengan kadar RM90 sehingga RM220 sehari, hotel ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di negeri ini serta mewujudkan lebih 80 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat" katanya lagi.

Beliau memberitahu, sebuah lagi T' Hotel dijangka beroperasi hujung tahun ini berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, dekat sini.

"Sebahagian lagi kompleks ini, akan menempatkan ruang pameran, pusat reka bentuk, pusat kraftangan, pusat kajian produk serta konsep kedai francais dan kedai khusus untuk mengkomersialkan produk tempatan," katanya.

Katanya, kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju," katanya.

Di samping itu, katanya, kompleks ini bakal menempatkan ruang pejabat anak syarikat YPU seperti Cakna Sdn. Bhd. yang menguruskan T' Shoppe dan Terengganu Institute Design Excellent (TIDE).

Tambah Azmi, sebuah pusat penghasilan, galeri pameran dan jualan batik yang dikenali sebagai 'Kota Batik' turut ditempatkan di kompleks ini yang bakal menampung pengusaha-pengusaha batik tempatan.

 

Dikemaskini Pada Rabu, 08 Disember 2010 10:25