Menjelang Bajet 2011: Harapan PKS Bajet Pertingkat Semangat PDF Cetak E-mail
Kualiti Artikel: / 0
Kurang MemuaskanSangat Memuaskan 
Ditulis Oleh Webmaster   
Khamis, 14 Oktober 2010 17:31

KEPERLUAN pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membabitkan geran, kemudahan pembiayaan serta ruang untuk berkembang dijangka diberi tumpuan dalam pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, Jumaat ini, susulan kedudukan sektor itu sebagai antara nadi utama ekonomi negara.

PKS kini melalui saingan semakin sengit di pasaran serantau, khususnya dari China dan India yang dikeluarkan dengan kos yang lebih rendah. Ia menuntut kerajaan melaksanakan tindakan segera bagi meningkatkan daya saing pengeksport produk PKS tempatan dan mereka mungkin kecundang jika tidak sokongan sewajarnya.

Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia, Chua Tiam Wee, yakin Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nanti, akan memihak kepada pembangunan sektor PKS secara keseluruhan.

Beliau berkata, ini termasuk langkah kerajaan menyediakan peruntukan tambahan dalam bajet itu bagi pelaksanaan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka memberi peranan lebih besar kepada sektor PKS, mulai tahun depan.

Katanya, PKS kini mencakupi sekitar 99 peratus daripada jumlah penubuhan perniagaan di Malaysia dan menyumbang sebanyak 31 peratus kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

PKS turut menyumbang 56 peratus daripada keseluruhan guna tenaga dan 19 peratus daripada jumlah eksport negara, katanya.
Chua berkata, kerajaan juga dijangka menyediakan pelbagai bentuk pembiayaan bagi menggerakkan pembabitan sektor swasta khususnya dalam sektor berkenaan.
“Bajet 2011 adalah satu ‘semangat baru’ kepada sektor PKS selepas pulih daripada krisis kewangan baru-baru ini. Apa yang akan dibentang oleh Perdana Menteri adalah pelbagai insentif untuk sektor PKS,” katanya.

Chua berkata, persatuan itu yang mewakili lebih 3,000 ahli di seluruh negara turut meminta kerajaan mewujudkan semula geran kepada PKS yang mahu mengembangkan pasaran ke luar negara.

Geran itu, katanya, untuk meningkatkan daya saing pengeksport di kalangan PKS tempatan yang terpaksa menyaingi produk yang dikeluarkan dengan kos lebih rendah seperti dari China dan India.

Kerajaan pada Jun lalu sudah menghentikan pemberian geran kepada sektor PKS dan menggantikannya dengan skim pembiayaan mudah yang menawarkan kadar pembiayaan minimum.

Beliau berkata, banyak syarikat PKS kini sudah pulih daripada kesan krisis ekonomi global dan kembali mendapat permintaan kukuh daripada pasaran. Bagaimanapun, permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana masing-masing kekurangan pekerja.

Mengenai pekerja asing, katanya kadar levi yang lebih tinggi sejak Januari tahun ini menjejaskan PKS yang sedikit sebanyak menjejaskan sektor perniagaan khususnya industri perabot, makanan dan minuman selain perladangan.

“Bagaimanapun, saya yakin ia dapat ditangani segera dan Bajet 2011 adalah antara semangat baru kepada sektor PKS,” katanya.

Dalam pada itu, persatuan juga meminta supaya cukai korporat PKS dikurangkan dari 20 peratus kepada 15 peratus sebagai persediaan sektor itu kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Persatuan itu turut mencadangkan permulaan untuk pendapatan bercukai dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000 sekarang.

Sementara itu, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) pula meminta supaya pembentangan bajet kali ini terus mengutamakan kepentingan serta pembangunan Bumiputera dalam pelbagai sektor perniagaan, dalam mewujudkan masyarakat perniagaan yang mapan.

Naib Presiden merangkap Pengerusi Biro Ekonomi dan Industri Pertanian, PERDASAMA, Shawaludin Mohd Din, berkata Bajet 2011 diharapkan memberi banyak peluang kepada Bumiputera, khususnya dalam pengagihan tender projek kerajaan serta ruang perniagaan di lokasi yang strategik.

“Pembentangan Bajet 2011 kali ini dijangka lebih mantap dan seiring dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Justeru, kami sangat berharap ia akan terus memelihara kepentingan peniaga Melayu, sekali gus melonjakkan pembangunan sektor PKS di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Bajet 2011 diharapkan dapat memberikan harapan cerah kepada lebih 14,000 ahlinya, yang mana lebih 50 peratus daripadanya terbabit dalam perniagaan PKS.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Selangor, Agil Faisal Ahmad Fadzil, berkata pihaknya meminta supaya kerajaan terus memberi tumpuan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam sektor perniagaan.

Ini katanya, termasuk mengembangkan definisi perbelanjaan bangunan berkelayakan bagi Akaun Pelaburan Semula sektor pengilangan dengan turut mempertimbangkan pengurangan berganda bagi perbelanjaan membabitkan rekaan serta hak harta intelektual.

“Bajet 2011 juga diharapkan dapat mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing, khususnya dalam mencarta ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim, berkata Bajet 2011 diharapkan dapat memberi banyak tumpuan serta lebih sensitif kepada sektor PKS di negara ini.

“Kami sudah menyatakan permintaan kami yang mewakili sektor PKS. Saya yakin kerajaan akan mendengarnya dan memberi mengikut keperluan PKS,” katanya.

 

Dikemaskini Pada Isnin, 01 November 2010 10:35