| YPU Sediakan Pembiayaan Skim Untuk Usahawan IKS |
|
|
|
| Written by Webmaster |
| Tuesday, 06 July 2010 10:33 |
|
KUALA TERENGGANU, Selasa, 6 Julai 2010 - Sebanyak 15,000 usahawan kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu kini menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, pelancongan, asas tani, petroleum dan gas.
Kebanyakan mereka lahir dengan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Pertanian Negeri dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Berdasarkan jumlah usahawan yang dilahirkan industri keusahawanan di negeri ini dilihat semakin berkembang dan meningkat. Bagaimanapun bagi Pengurus Besar YPU, Azmi Bin Razik, beliau tidak melihat dari segi kuantiti atau jumlah usahawan yang dilahirkan bagi menyatakan perkembangan dan peningkatan industri berkenaan. Beliau berkata kualiti seseorang usahawan itu lebih penting kerana faktor itu yang menunjukkan kejayaan. "Seseorang usahawan itu perlu mempunyai produk yang baik serta mampu memasarkannya sehingga ke pasaran antarabangsa." "Terengganu sememangnya mempunyai usahawan berkenaan seperti usahawan batik, Noor Arfa dan Koperasi Tani (KOPTANI) Lembah Bidong Terengganu Berhad yang mengeluarkan Roselle," ujarnya. Beliau berkata, sebanyak 3,000 usahawan menyertai Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang diperkenalkan oleh YPU dalam usaha membentuk usahawan baru dan jaringan perniagaan. "Sebanyak 3,000 lagi usahawan menggunakan laman web Terengganupages (www.terengganupages.com) bagi mempromosikan produk mereka secara talian," katanya. Selain itu, katanya, program-program dan kursus berbentuk kemahiran serta latihan dalam pelbagai sektor yang dianjurkan oleh YPU turut mendapat sambutan tinggi daripada usahawan-usahawan tempatan. "Usahawan juga memohon kepada YPU untuk mendapatkan pembiayaan bagi memulakan atau memperkembangkan perniagaan mereka," tambahnya. Beliau memberitahu, Tabung Pembangunan Usahawan (T'Fund) yang ditubuhkan sejak 2002 telah membantu seramai 1,758 usahawan. "Sebanyak RM9 juta pembiayaan telah dikeluarkan melalui tiga skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF). Saiz pembiayaan bagi setiap usahawan mengikut skim itu adalah antara RM2,000 hingga RM50,000," ujarnya. Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga membantu usahawan meningkatkan perniagaan mereka dengan menyediakan beberapa perkhidmatan dalam memperbaiki produk mereka terutama label dan pembungkusan. "Produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan Terengganu sememangnya berkualiti tinggi namun kerana kegagalan mereka melabel, mempromosi dan membungkusnya dengan baik, ianya tidak mendapat sambutan," ujarnya. Justeru, beliau berkata, pihaknya pada tahun ini memperkenalkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan T'P3 yang menawarkan perkhidmatan pembungkusan, barcode dan pelabelan. Katanya, T'P3 akan dibuka di setiap daerah di negeri ini bagi membantu semua usahawan di daerah berkenaan. "Setakat ini, T'P3 telah siap dibina di Ajil, Hulu Terengganu dan seterusnya akan dibuka di Gong Kemuntong, Besut; Pulau Serai, Dungun dan Bukit Kor, Marang," ujarnya. |
| Updated on Monday, 16 August 2010 11:16 |






